MCA langgar Akta Hasutan
KUALA LUMPUR 8 Mac – MCA tidak sepatutnya mengeluarkan resolusi di luar daripada hal ehwal kaum diwakilinya terutama jika ia menyentuh isu yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, sebab itu permintaan MCA agar kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dianggap tidak wajar dan melanggar Akta Hasutan.
Beliau berkata, walaupun resolusi MCA itu dibuat atas dasar pertimbangan kemanusiaan tetapi permintaan seperti itu dilihat membelakangkan Perlembagaan.
Justeru, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas kesal dengan usul yang dikemukakan perwakilan MCA pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu semalam.
“Sepatutnya MCA sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang telah lama wujud sensitif terhadap isu ini dan memahami Perlembagaan.
“MCA tidak berhak masuk campur dalam isu ini kerana ia menyentuh hukum Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia. Saya harap pihak berkuasa tidak memandang ringan isu ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibrahim yang juga pengasas Majlis Perundingan Malaysia (MPM) berkata, MCA nampaknya tidak konsisten dalam pendiriannya.
“MCA menyokong gagasan 1Malaysia tetapi resolusi semalam bertentangan dengan semangat 1Malaysia,” katanya.
Tambahnya, MCA patut menumpukan masalah yang timbul di kalangan kaum Cina terutama isu memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.
“Mereka sepatutnya malu kepada bangsa asing seperti warga Bangladesh, India dan Nepal yang mampu bertutur dalam bahasa Melayu walaupun baru setahun dua tinggal di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang turut menyelar permintaan MCA itu.
Katanya, resolusi itu tidak masuk akal dan berbau hasutan kerana boleh menimbulkan keresahan rakyat.
“Sekiranya niat mereka mengetengahkan isu itu untuk mencetuskan ketegangan dan memecahbelahkan rakyat, sewajarnya mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.
“MCA seharusnya menumpukan terhadap krisis dalaman mereka sebelum mencampuri urusan orang lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip berpendapat, individu atau organisasi bukan Islam tidak berhak bersuara tentang isu berkaitan undang-undang syariah kerana mereka tidak memahami Islam.
“Bahkan ada antara orang Islam sendiri tidak faham undang-undang syariah sepenuhnya inikan pula penganut agama lain.
“Sebagai sebuah masyarakat dalam sebuah negara demokrasi, sepatutnya MCA menghormati kandungan yang sudah tertulis dalam perlembagaan negara,” ujarnya.
