‘Laporan China Press bohong’
KEMAMAN 13 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, beliau tidak pernah menerima surat peletakan jawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan seperti yang dilaporkan akhbar berbahasa Cina, China Press, hari ini.
Beliau berkata, laporan itu adalah tidak benar sama sekali dan oleh itu, pengurusan akhbar China Press akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Malah menurutnya, akhbar tersebut berkemungkinan dikenakan tindakan tegas jika penjelasan yang diberikan tidak memuaskan.
“Hubungan saya dengan Ketua Polis Negara dan timbalannya (Tan Sri Ismail Omar) serta pegawai tinggi lain amat rapat. Jadi saya patut tahu kerana tidak mungkin mereka ingin meletakkan jawatan tanpa pengetahuan saya.
“Laporan itu merupakan satu pembohongan. Saya ingin memberi amaran keras jangan membuat laporan yang tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Cukai di sini hari ini.
Menurut laporan China Press, Musa akan bersara sebelum Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempat beliau akan diganti oleh Ismail.
Hishammuddin berkata, sebarang perubahan jawatan dalam pasukan keselamatan itu akan ditentukan oleh kerajaan dan bukan berdasarkan spekulasi akhbar.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan berlaku penstrukturan jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh terdekat ini.
“Kontrak Ketua Polis Negara akan tamat September ini selain empat pengarah PDRM juga akan bersara. Dalam tempoh enam bulan ini akan berlaku peralihan jawatan tertinggi dan ini akan dijalankan secara lancar.
“Saya akan mengumumkan perancangan penstrukturan ini dalam tempoh terdekat namun ia tidak hanya berkisar kepada Ketua Polis Negara sahaja atau peletakan jawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Musa yang turut menafikan laporan itu mempersoalkan sumber yang digunakan.
“Saya tidak pernah menghantar sebarang peletakan jawatan kepada sesiapapun termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Berita itu tidak benar dan saya menafikan sekeras- kerasnya,” katanya kepada Bernama.
Musa berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat sumber laporan terbabit.

biasa la average.joe… kalu orang Melayu buat statement tu dh lama ‘masuk’ dalam
Amaran aje ke? Tindakannya mana? Bila lagi?