PERKASA anggap Najib hebat
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin hebat dan berwawasan, kerana membuat keputusan untuk melaksanakan dasar sekolah satu aliran hanya selepas mendapat persetujuan semua kaum di negara ini.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata melalui kaedah demokrasi itu dengan sokongan semua kaum, ia mampu menjadi panduan ke arah melaksanakan dasar persekolahan yang lebih dinamik demi masa depan generasi muda negara.
Katanya, Najib membuat keputusan bijak dalam usaha mengelak isu sekolah aliran diperbesarkan atau dipolitikkan pihak tertentu sekali gus mengukuhkan perpaduan di kalangan kaum di negara ini.
“Perkasa mengalukan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan dasar sekolah satu aliran hanya jika dipersetujui semua pihak (kaum) di negara ini.
“Tindakan Najib itu dianggap sebagai seorang pemimpin yang hebat serta berwawasan dan semua pihak harus menghormati keputusan itu demi pengukuhan perpaduan kaum,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib, kelmarin, yang menegaskan kerajaan hanya akan melaksanakan sekolah satu aliran hanya apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia.
“Kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan, kita (kerajaan) akan ubah, selagi masyarakat tidak bersedia, kita akan kekalkan seperti sedia ada.
“Tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial,” katanya.
Ibrahim berkata, tindakan Najib itu dianggap berani kerana ia mengikut kehendak semua rakyat tanpa perlu menunggu sesetengah pihak membuat saranan atau gesaan mengenai dasar sekolah.
“Pemimpin seperti Najib harus tegas dalam menentukan aspirasi pendidikan negara dan ada ketikanya beliau harus berani membuat keputusan yang dilihat tidak popular kepada dirinya, ini dinamakan pemimpin hebat dan berwawasan,” katanya.
