Datuk Ahmad Saad ketuai Perkasa Pulau Pinang
Bekas Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Ahmad Saad dilantik Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang berkuat kuasa 18 Oktober lalu.
Pelantikan Ahmad, 63, adalah selaras dengan pindaan perlembagaan Perkasa baru-baru ini yang membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu melantik jawatankuasanya di setiap negeri.
Menurut Ahmad, beliau menerima surat tawaran mengenai pemilihannya sebagai YDP Perkasa Pulau Pinang pada bulan lalu.
”Saya berterima kasih atas kepercayaan pihak Perkasa untuk melantik saya sebagai YDP Perkasa yang pertama di Pulau Pinang dan saya menerimanya atas rasa tanggungjawab untuk membantu orang Melayu di negeri ini.
”Mengenai pelantikan (YDP) di setiap negeri, saya percaya Perkasa akan lebih mudah bergerak dan menyusun aktivitinya secara lebih berkesan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sidang akhbar itu bertujuan mengumumkan barisan jawatankuasa Perkasa di Pulau Pinang termasuk kepimpinan pertubuhan itu di setiap daerah.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Pulau Pinang, Ahmad Lutfi Ibrahim dilantik sebagai Timbalan YDP Perkasa negeri manakala Saidin Kadir sebagai Setiausaha.
Menurut Ahmad, pihaknya turut melantik lima Pengerusi jawatankuasa Perkasa di kelima-lima daerah di Pulau Pinang iaitu Datuk Faldze Ariffin di Seberang Perai Utara, Osman Sirun (Seberang Perai Tengah), Mohd. Fuad Mat Isa (Seberang Perai Selatan), Fadhil Shuib (Timur Laut) dan Shah Edan Ayub Shah (Barat Daya).
”Kelima-lima pengerusi daerah ini sudah diminta untuk mewujudkan jawatankuasa di setiap daerah masing-masing dalam tempoh dua minggu,” jelasnya.
Ahmad memberitahu, jawatankuasa Perkasa yang akan diwujudkan di setiap daerah akan turut dibarisi golongan profesional yang diharap mampu menyelaraskan segala program yang akan dirancang kelak.

Assalamualaikum,
Saya berpendapat ini adalah satu pilihan yang tepat.
Selamat bertugas Datok.
Perkasa Melayu dibumi Melayu..