Jadikan kursus BTN prasyarat bakal mahasiswa
PARIT 19 Dis. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) mencadangkan semua bakal mahasiswa dihantar mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) terlebih dahulu sebelum menjejakkan kaki ke universiti.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kursus itu juga wajar dijadikan prasyarat bagi mereka yang akan diterima sebagai kakitangan kerajaan serta peminjam pelbagai skim yang disediakan kerajaan.
“Buat masa ini kursus BTN dikenakan ke atas mereka yang sudah jadi mahasiswa dan kakitangan kerajaan, jadi Perkasa cadangkan ia dilakukan lebih awal kepada semua yang terlibat tanpa mengira kaum.
“Tambahan pula sekarang sudah ada kerajaan negeri yang menghalang kakitangannya menyertai BTN, jadi lebih baik dilakukan lebih awal bagi menanam semangat jati diri dan nasionalisme,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Perkasa cawangan Perak yang dirasmikan Tan Sri Sanusi Junid di sini hari ini.
Ibrahim berkata, selain menumpukan kepada pencapaian akademik, kerajaan tidak boleh lupa tentang kepentingan dan kesedaran anak-anak muda terhadap agama, bangsa dan negara.
Jelas beliau, golongan mahasiswa, kakitangan awam yang baru serta mereka yang ingin membuat pinjaman kerajaan perlu faham tentang Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta konsep Raja Berperlembagaan kerana ia merupakan tunjang pembentukan Malaysia.
“Saya ingin menegaskan kursus BTN merupakan perkara yang sangat penting bagi mengatasi strategi pembangkang yang jelas mahukan konsep sama rata, sama bangsa dan sama rasa.
“Slogan itu nampak ideal tetapi ia akan membawa keburukan pada masa akan datang. Kalau mahu sama rata kita kena sama ratakan ekonomi semua kaum dahulu, tidak boleh dikuasai oleh satu kaum saja,” ujar beliau.
Ibrahim pada masa sama menggesa kerajaan bertegas dalam memberi hak kerakyatan kepada mana-mana individu demi keselamatan negara.
