Bubur sugho imbau nostalgia

Penduduk kampung menikmati bubur asyura yang dihidangkan secara tradisi dalam tempurung kelapa di Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan, baru-baru ini. – UTUSAN/Rosni Masri
————————————————–
PASIR MAS 27 Jan. – Ketibaan 10 Muharam yang digelar Hari Asyura disambut oleh umat Islam di rantau ini dengan memasak juadah bubur asyura yang menjadi amalan tradisi.
Kebanyakan beranggapan majlis menyambut asyura adalah semata-mata untuk memperingati peristiwa Nabi Nuh yang memasak bubur semasa menaiki bahtera bagi menyelamatkan diri semasa banjir besar.
Sebenarnya banyak lagi peristiwa penting berlaku pada tarikh tersebut yang melibatkan para nabi dalam rentetan perjuangan mereka menegakkan agama Allah.
Tradisi penuh meriah di kampung-kampung pada suatu masa dulu itu sebenarnya semakin beransur pudar di kalangan generasi baru.
Namun di Kelantan dan Terengganu, tradisi ini masih kekal subur dengan ia bukan sahaja dihidupkan di kampung- kampung, malah di kawasan bandar.
Justeru apabila setiap kali tibanya bulan Muharam, pekarangan masjid dan kawasan yang menjadi pusat kegiatan penduduk seperti balai raya akan menjadi tumpuan.
Ini apabila banyak pihak menganjurkan program memasak bubur asyura sama ada oleh orang perseorangan mahu pun secara berkumpulan.
Malah bagi menyerikan lagi tradisi berkenaan, pertandingan sajian bubur yang enak dan menarik turut diadakan.
Program tradisi ini biasanya turut bertambah meriah apabila terdapat para pembesar dan orang kenamaan bersama-sama ‘turun padang’ mengacau bubur tersebut.
Dalam memasak bubur ini, ada yang mengatakan campuran ramuan rempah ratus, ubi, kacang, daging dan lain hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang atau dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur asyura.
Bubur asyura atau dilebih dikenali sebagai ‘sugho’ di negeri ini sememangnya membuatkan ramai yang kecur air liur terutamanya bagi golongan berusia.
Bagi golongan ini, keenakan bubur asyura memang tidak dapat ditandingi di samping mempunyai nilai nostalgik kerana ia mengimbau kembali kenangan manis alam kanak- kanak dan remaja mereka.
Selain keenakannya, juadah ini juga istimewa kerana untuk menyediakannya beramai-ramai, ia memerlukan gerak kerja kemasyarakatan.
Sebab itu ‘sugho’ bukan disediakan untuk individu dan keluarga tetapi juga untuk diagihkan kepada jiran dan saudara-mara dengan kos boleh mencecah sehingga lebih RM400 setiap kawah pada masa kini.
Amalan tradisi ini boleh dilihat sebagai membudayakan semangat bergotong-royong. Ia memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berkongsi memberi sumbangan, bahan dan tenaga.
Penduduk di Kampung Kedai Chekok, Chetok dekat sini baru-baru ini turut meneruskan tradisi di mana mereka berpakat memasak lima kawah bubur asyura dengan proses menyediakannya bermula sejak awal pagi lagi.
Inisiatif ini digerakkan bersama Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Pada zaman dahulu, bubur yang baru sahaja masak dihidangkan dalam tempurung jantan sebagai bekas pakai buang dan bersudu daun nanas, kelapa atau gajus yang boleh dipetik di mana sahaja.
Kini, nostalgia indah itu dihidupkan kembali penduduk kampung berkenaan untuk mengingatkan generasi muda tentang kesusahan hidup masyarakat kampung dulu.
‘‘Inilah cara makan bubur sugho yang sudah tidak diamalkan kini. Oleh itu kita cuba hidupkan semula budaya berkenaan untuk memeriahkan majlis. Kanak-kanak juga ternyata begitu tertarik,” ujarnya.
Salah seorang penduduk, Muhammad Ismail, 77, berkata, tradisi tersebut sudah lama hilang ditelan arus pemodenan sehingga menyebabkan kemeriahan tidak lagi begitu dirasakan.
Mengimbau waktu mudanya, Muhammad menceritakan, kaedah tersebut digunakan ketika dia masih kecil iaitu ketika zaman sebelum penjajahan Jepun akibat kesempitan hidup yang dialami masyarakat ketika itu.
“Saya masih ingat lagi, apabila tiba musim asyura, kita akan menggunakan tempurung kelapa, daun keras seperti daun ketereh (gajus) dan nanas untuk dijadikan mangkuk dan sudu.
“Kenangan ini saya alami pada waktu kecil dan apabila suasana dah maju, tradisi ini sudah dilupakan,” katanya ketika ditemui pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 penduduk.
Menurut Muhammad, bagi mereka ketika itu, bubur asyura dirasakan begitu enak dan sentiasa mengharapkan ada penduduk yang memasak bubur berkenaan apabila tiba musimnya.
Katanya, mereka tidak akan melepaskan kesempatan bertandang ke rumah jiran sekampung yang menyediakan bubur itu dengan membawa tempurung sendiri dan tidak lokek mengeluarkan tenaga apabila diminta membantu.
Biarpun masa telah berlalu tetapi bagi Muhammad, beliau dan keluarganya masih berpegang teguh pada tradisi yang diamalkannya sejak berusia 12 tahun.
Katanya, tradisi itu perlu dihidupkan semula bagi generasi muda merasai kepayahan hidup yang dialami sebelum negara mencapai kemajuan seperti hari ini.
“Apabila kita memulakan semula tradisi ini, ia memberi peluang generasi muda merasai pengalaman ini yang asing bagi mereka.
“Kita juga mahu perkara ini kekal kepada generasi muda untuk diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Peristiwa dan bubur asyura memberikan pelbagai pengajaran kepada masyarakat Melayu walaupun ia semakin luput ditelan zaman.
