|

Lagi kedai Melayu diroboh

PULAU PINANG 28 Jan. – Sebuah lagi kedai makan milik seorang peniaga Melayu di negeri ini dirobohkan atas arahan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana didakwa berniaga secara haram.

Kedai makan Three N Ikan Bakar di Jalan Faraday, Bukit Dumbar di sini yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu itu, dirobohkan oleh kira-kira 40 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)

Lebih mengejutkan pemilik kedai tersebut, Jamaludin Yusof, 50, kerja-kerja meroboh kedai pada pukul 9.40 pagi itu dilakukan seminggu lebih awal dari tarikh yang telah diberikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut kepadanya untuk berpindah.

Semalam, kedai makan atas pokok yang diberi nama Do Re Mi Kafe hampir dirobohkan walaupun majlis perkahwinan sepupu pengusaha kedai, Johar Ismail, 34, akan berlangsung Sabtu ini.

Menurut Jamaludin, dia telah diberikan notis oleh pejabat tanah agar merobohkan kedai milik berkenaan selewat-lewatnya 26 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, tarikh itu dilanjutkan sehingga 4 Februari ini oleh pihak berkenaan selepas dia membuat rayuan.

”Bagaimanapun awal pagi tadi saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang kawan yang memaklumkan kedai ini akan dirobohkan pagi ini.

”Saya terus ke pejabat tanah dan melihat papan kenyataan di pejabat itu menunjukkan tarikh yang ditetapkan untuk merobohkan kedai saya masih 4 Februari ini. Saya benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jamaludin, dia kemudiannya dimaklumkan oleh pegawai di pejabat tanah bahawa mereka telah didesak oleh kerajaan negeri untuk merobohkan kedai tersebut hari ini.

Jelas Jamaludin, dia akur dan bersedia untuk merobohkan gerai tersebut, namun hanya meminta masa yang lebih panjang untuk membolehkannya memindahkan barang dan peralatan yang ada secara selamat.

”Saya bukan orang kaya. Semasa mula berniaga di sini enam tahun lalu, saya meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM50,000 dan ditambah dengan simpanan sendiri. Hutang yang ada pun belum berbayar.

”Sudahlah berniaga pun kurang sambutan kerana kegawatan ekonomi dan sekarang gerai saya pula dirobohkan,” ujarnya.

Menurutnya, dia benar-benar buntu ekoran kejadian itu.

”Jika kerajaan dahulu, bolehlah mengadu kepada Barisan Nasional (BN) atau UMNO, tetapi sekarang tidak tahulah mana mahu mengadu. Saya harap apa yang berlaku akan menjadi pengajaran kepada seluruh orang Melayu Pulau Pinang,” katanya.

Jamaludin berkata, dia telah mendapat sokongan daripada kerajaan negeri terdahulu untuk meneroka kawasan semak dan belukar di kawasan berkenaan bagi dijadikan kedai makan melalui satu surat yang dikeluarkan Penolong Pentadbir tanah ketika itu, Mahyuddin Hussin.

Bagaimanapun, katanya, apabila kerajaan pakatan pembangkang mentadbir negeri ini, surat tersebut dikatakan tidak betul.

”Saya cuma mahukan pembelaan dan timbang rasa mereka. Mana pergi janji mereka untuk membela nasib kami peniaga Melayu,” katanya.

Sehubungan itu Jamaludin mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke negeri ini dan melihat nasib peniaga kecil terlibat.

”Kenapa hanya kami orang Melayu yang diambil tindakan sedangkan kaum lain dibiarkan berleluasa berniaga,” katanya.

Menurut Jamaludin, mungkin nasibnya agak baik berbanding rakan-rakannya yang lain apabila berjaya mendapatkan ruang berniaga di Medan Selera Gelugor yang masih dalam proses pengubahsuaian.

Jika tidak, kata Jamaludin, mungkin dia akan menerima nasib yang sama menjadi penganggur dan hilang sumber pendapatan.

/Ps — Kesian Melayu Pulau Pinang

Ruangan komen ditutp