|

Desakan Khairy letak jawatan bukan baru: Dr M

tunTun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan desakan supaya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, meletak jawatan bukanlah satu perkara baru bahkan ia sepatutnya dilakukan lebih awal dengan memilih calon lebih sesuai ketika pemilihan sayap parti itu tahun lalu.

Dengan nada sinis, mantan Perdana Menteri itu berkata, sepanjang pengetahuannya tidak pernah berlaku kes seorang Ketua Pemuda dilarang berkempen dalam pilihan raya kecil negeri atas alasan ia boleh menjadi faktor kekalahan.

“Itu luar biasa…kes pilihan raya kecil di Perak, mereka larang dia (Khairy) datang…katanya kalau datang juga, mesti kita (Barisan Nasional) kalah. Orang Melayu ketika itu benci sangat, saya sendiri pun tak tahu macam mana dia boleh menang.

“Sebab itu saya katakan, depa (mereka) kena belajar mengira Matematik dalam bahasa Inggeris, sebab susah sangat nak kira undi (pemilihan jawatan Ketua Pemuda Umno). Cuma ada 700 perwakilan, takkan ambil masa tujuh jam nak kira undi.

“Pasal apa jadi macam tu, saya tak tahu. Masa dia menang Naib Ketua Pemuda, siapa berani lawan dia sampai menang tanpa bertanding. Apa strategi dia guna…,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia peringkat Selangor (Perkasa Selangor) yang turut dihadiri Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, di sini, semalam.

Dr Mahathir mengulas rencana disiarkan dalam blog yang mendakwa Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno beberapa hari lalu kecoh ekoran ada desakan supaya Khairy berundur bagi menyelamatkan pergerakan itu.

Berdasarkan laporan Harakahdaily, difahamkan punca utama desakan beberapa Exco pergerakan itu kerana Khairy dilihat gagal menterjemahkan hala tuju Pemuda selari dengan kepemimpinan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan apa yang ditimbulkan pada mesyuarat khas Exco Pemuda itu hanyalah cabaran kepada kepemimpinan Pemuda untuk terus bekerja keras dan menjalankan tugas dengan baik.

Selain itu, Dr Mahathir turut mendesak kerajaan tidak mengabaikan rungutan golongan kecil termasuk badan bukan kerajaan Melayu (NGO) yang bersemangat mempertahankan ketuanan dan kedaulatan bangsa.

“Melayu tak boleh terlalu bergantung kepada parti politik untuk suarakan pendapat,” katanya.

1 Balasan untuk “Desakan Khairy letak jawatan bukan baru: Dr M”

  1. Pendekar mas says:

    Perkara ini bermula apabila Lembaga Disiplin Parti mendapati YB Khairi bersalah , tetapi tiada tindakan sapertimana tindakan yang dikenakan kepada YB Ali Rustam.

    YB Khairi telah menang dalam Pemilihan, ini menunjukan beliau ada pengaruh dan sepatutnya beliau diberi tugas sesuai dengan kedudukannya, walau bagaimanapun coretan hitam yang mewarnai politiknya menyebabkan PM mungkin dalam keadaan serba salah telah melantek calun yang tewas sebagai Timb. Menteri, ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada YB Khairi, apapun dari luaran kita melihat beliau tabah dengan situasi itu, tetapi didalam hati siapalah tahu?????

    Nasib YB Khairi, ibarat pemain utama yang tidak berperanan, apa dibuat semuanya tak menjadi, cuma kita melihat ini sedikit sebanyak merugikan UMNO juga, dipersimpangan ini YB Khairi patut melakukan sesuatu untuk kebaikan UMNO kerana adalah dipercayai beliau ada kebijaksanaan untuk berfikir kearah itu.

    Selain itu Pucuk Pimpinan juga patut memikirkan sesuatu, Keran adalah dipercayai PM sendiri lagi mempunyai kebijaksanaan untuk melakukan sesuatu demi kebaikian UMNO.

Ruangan komen ditutp