|

Kenyataan rasis usaha sabotaj gagalkan 1 Malaysia Najib?

Tinggal kurang tiga bulan 1 Malaysia dibawa Datuk Seri Najib Razak genap setahun, gagasan perdana menteri keenam ini berhadapan dengan satu lagi ujian selepas isu kalimah “Allah”, yang disusuli dengan insiden kerja-kerja membakar dan vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat.

Ketika siasatan pihak berkuasa bermula untuk menentukan kebenaran dakwaan sama ada pegawai khas Datuk Nasir Safar telah mengeluarkan kata-kata yang disifatkan sebagai hasutan dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, juga timbul persoalan sama ada wujud unsur-unsur sabotaj untuk menggagalkan Najib.

Najib dengan sendiri cuba melahirkan beberapa tindakannya yang mencerminkan semangat 1 Malaysia.

“Walaupun Najib bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kepercayaan khususnya orang India tetapi kenyataan-kenyataan seperti ini boleh menyinggung sebab seolah-olah ada satu bentuk unsur dalaman, yang seolah-olah tidak ada berbeza (dengan suasana lama).

“Malah, ini boleh menjejaskan kredibiliti perdana menteri sendiri,” kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata Sivamurugan, perdana menteri memerlukan pasukan yang benar-benar memahami aspirasi gagasan dan konsep 1 Malaysia.

Perdana menteri, menurut ahli akademi ini, juga perlu mengenal pasti punca kenapa ia boleh berlaku dan menangani dengan segera, yang paling drastik mengeluarkan mereka yang ada sikap seperti ini.

“Beliau perlu membina semula pasukan beliau, bersesuaian dengan misi dan gagasan beliau,” kata penganalisis ini.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Hussein yang mengesahkan Nasir akan disiasat berhubung kenyataan didakwa bersifat perkauman yang dibuat di Melaka berkata, tindakan yang diambil ke atas pegawai khas itu membuktikan bahawa Najib amat telus dan serius dalam mentadbir negara.

“Nasir telah mengenali perdana menteri lebih daripada 30 tahun. Jadi ia bukan sesuatu yang peribadi. Ia adalah agenda yang mengatasi soal hubungan peribadi, termasuk pertalian darah kerana kita melihatnya daripada konteks negara.

“Ini juga bukan perkauman. Beliau (Nasir) mungkin telah terlanjur kata, tetapi kesannya sangat buruk jika dimainkan oleh pihak tertentu dan dilihat daripada perspektif lain, selain daripada objektif perdana menteri,” katanya.

Menjelang genap setahun menjadi perdana menteri dan gagasan 1 Malaysia diperkenalkan, Sivamurugan juga berkata, Najib perlu melakukan rombakan dan menilai apa yang berlaku bagi mengelakkan populariti beliau yang semakin meningkat terjejas.

Bagaimanapun pensyarah kanan sains politik dan strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman tidak melihat insiden terbaru ini sebagai satu bentuk sabotaj ke atas usaha Najib menggerakkan gagasan 1 Malaysia.

“Tetapi, saya pun terkejut macam mana masih ada orang pegawai yang tinggi, lebih-lebih lagi dari Pejabat Perdana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini pada 2010 sekarang,” katanya.

“Kalau mereka seperti ini mengeluarkan kenyataan pada tahun 1960-an, 1970-an, boleh diterima… tetapi pada zaman sekarang…?” katanya.

Oleh itu beliau juga sependapat dengan Sivamurugan bahawa perdana menteri harus betul-betul memilih pegawai yang mempunyai latar belakang positif untuk menyokong dasar dan program beliau dan kerajaan.

“Perdana menteri perlu berhati-hati dalam memilih pegawainya… pegawai-pegawai yang dipilih juga perlu membuat anjakan mengikut dasar dibawa perdana menteri, bukannya membelakangi apa yang dikehendaki perdana menteri,” katanya lagi.

Dalam pada itu Presiden Just Malaysia Dr Chandra Muzaffar berpendapat bahawa jika benar Nasir menggunakan perkataan “melucutkan kewarganegaraan”, ia bertentangan dengan semangat perlembagaan dan Akta Hasutan.

“Dalam evolusi negara kita, masyarakat bukan Melayu yang diberikan taraf kewarganegaraan sudah dua, tiga generasi tinggal di negara ini, dan mereka ada hak dan tanggungjawab di bawah perlembagaan negara.

“Memang ada masalah yang wujud dari semasa ke semasa, tetapi ia harus diselesaikan menerusi perbincangan dan perundingan.

“Tetapi kalau kita membuat kenyataan yang kasar dan menyakitkan pihak-pihak yang terlibat, maka jurang ada wujud ini akan semakin melebar. Jadi dalam kes ini (kenyataan Nasir) jelas ia bertentangan dengan perlembagaan dan Akta Hasutan,” katanya.

Pengerusi Yayasan 1 Malaysia ini mengakui insiden membabitkan Nasir itu “satu cabaran kepada idea 1 Malaysia.

“Memang kita akan ada cabaran-cabaran seperti ini kerana 1 Malaysia adalah satu proses dan evolusi, yang akan mengambil masa untuk dilaksanakan tetapi kita harus tegas dalam hal ini,” katanya.

1 Balasan untuk “Kenyataan rasis usaha sabotaj gagalkan 1 Malaysia Najib?”

  1. hamza2020 says:

    mungkin ader betul apa yg dikata setiausaha pm to

Ruangan komen ditutp