Shafie: Sudah ada petanda BN akan rampas balik Kedah
PENDANG, Feb 6 — Pemimpin-pemimpin Umno terutama di peringkat bahagian, digesa supaya terus mendampingi rakyat kerana sudah ada petanda yang menunjukkan Kedah akan kembali ditawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata amat penting untuk menjuarai rakyat dengan cara turun hingga ke peringkat akar umbi untuk mendengar suara, sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
“Semangat perubahan sudah ada di Kedah dan pemimpin pastikan turun ke bawah untuk pastikan BN dapat rampas kembali (pentadbiran) negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Parlimen Pendang, di Kompleks Paya Mat Insun, dekat sini hari ini.
Beliau berkata tanda perubahan dapat dilihat dengan jelas kerana setiap program yang dianjurkan BN khususnya Umno seperti Program Juara Rakyat, mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan rakyat.
Program Juara Rakyat dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Rawang, Selangor, 9 Jan lepas sebagai tanda Umno menerima isyarat daripada rakyat supaya kembali mendampingi rakyat selepas ditolak pada pilihan raya umum ke-12.
