|

Pak Lah: Rakyat kecewa dengan tadbiran Guan Eng

pak-lah1KEPALA BATAS, Feb 7 – Kebangkitan rakyat Pulau Pinang menyatakan bantahan secara terbuka terhadap kepimpinan Ketua Mentri Lim Guan Eng, adalah bukti jelas mereka tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran dan pendirian beliau, kata bekas Perdana Mentri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata perkara itu nampak semakin jelas dan ketara kerana mereka yang mengkritik adalah pemimpin parti dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Itu menunjukkan satu tanda kelemahan sejak Setiausaha Agung DAP berkenaan mengambil alih kepimpinan sebagai Ketua Mentri dan situasi ini akan berlarutan serta membawa kelemahan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ang pow dan barangan sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Kerajaan negeri pimpinan DAP dikritik hebat sejak kebelakangan ini dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharin Hashim daripada PKR, melabelkan Lim sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, juga daripada PKR turut mengkritik Ketua Mentri dengan mendakwa pentadbiran kerajaan negeri meminggirkan Ahli Parlimen PKR serta tidak boleh dikritik.

Malahan Jumaat lepas, kira-kira 3,000 anggota daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bantahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan orang Melayu.

Mengenai dakwaan kononnya Umno menjadi dalang terhadap kebangkitan berkenaan, Abdullah berkata Umno tidak berbuat demikian dan tidak ada kaitan dengan permasalahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang sebaliknya ia adalah suara ketidak puasan hati anggota mereka sendiri.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertelingkahan antara pemimpin DAP dan PKR di Pulau Pinang menunjukkan satu keretakan serius sedang berlaku dalam parti pakatan DAP-PKR-PAS.

Zahid yang juga Mentri Pertahanan berkata krisis ini menunjukkan bahawa gabungan pembangkang tidak mempunyai satu persefahaman khususnya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya tidak ingin campur tangan dalam pertelingkahan mereka ini tetapi krisis ini telah dibukti benar selepas Ahli Parlimen Bayan Baru tampil untuk membongkarkan situasi sebenar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Mesra bersama Mentri anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Parlimen Bukit Mertajam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan Bukit Teh hari ini.

Zahid menggesa rakyat Pulau Pinang menolak kepimpinan parti pakatan memandangkan tiada sebarang perubahan berlaku sejak negeri itu ditabdir Lim.

“Rakyat harus bijak membuat perbandingan dan memandangkan keadaan pentadbiran sedemikian, Kerajaan Pulau Pinang harus diberikan balasan dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Mengenai dakwaan Ketua Mentri bahawa orang Melayu negeri dapat berdiri dan berjaya tanpa Umno, Ahmad Zahid berkata : “DAP harus mempunyai kemampuan untuk membuktikan bahawa parti itu dapat membela nasib orang Pulau Pinang khususnya orang Melayu.”

Tindakan kerajaan negeri merobohkan gerai-gerai orang Melayu membuktikan bahawa pentadbiran negeri di bawah parti pakatan tidak menunaikan janji pilihan raya 2008 untuk membela nasib rakyat berpendapatan rendah.

“Kita faham ada peraturan untuk mengambil tindakan terhadap gerai-gerai tanpa lesen, tetapi tentulah ada budi bicara dan rasa belas kasihan kepada mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata sekiranya kerajaan Pulau Pinang mempunyai perancangan untuk membantu semua kaum, tentu Zahrain tidak akan menyifatkan Lim sebagai seorang diktator, cauvanis dan berfikiran komunis.

1 Balasan untuk “Pak Lah: Rakyat kecewa dengan tadbiran Guan Eng”

  1. TaHaa says:

    Saya lagi kecewa dengan pentadbiran Tun Lah.

Ruangan komen ditutp